3 Januari 2015

IMAN DANIAL HAKIM

Pagi itu dia bangun seperti biasa. Solat subuh, pergi mandi, baca mathurat, lepas itu lepak dekat sofa sambil baca buku. Smartphone biasanya akan dibiarkan untuk dicas di biliknya, dia mahu berjauhan dengan smartphonenya itu kerana dia cepat dikacau oleh keinginan untuk memegang smartphone itu, scroll newsfeed, tengok whatsapp, buka blog dan website. Kadang-kadang tak ada apa pun, tiada berita baru, tiada maklumat penting. Namun, memandangkan sekarang memang maklumat ada di hujung jari, jadi dia susah nak berenggang dengan smartphone itu, rasa gelisah jika ada sebarang maklumat atau berita terbaru yang dia tertinggal. Dia dah terbiasa begitu, tak boleh berpisah dengan smartphone, seolah itulah nyawa penyambung hidupnya. Addicted kata orang.
Dahulu sebelum dia kenal dengan dunia smartphone ini, dunia pembacaannya menyeronokkan. Tiada rasa terganggu untuk menikmati pembacaan yang berterusan, rasa resah dan gelisah. Sekejap rasa nak pegang, sekejap rasa nak lihat. Kalau dahulu mungkin dia boleh habiskan dua buku dalam masa sehari, malangnya kini sebuah buku pun mungkin mengambil masa berhari-hari. Sangat menyedihkan. Dia tak suka. Pernah sesekali timbul keinginan di hati untuk menjual smartphone itu, dan hidup sekadar menggunakan Nokia 3310. Biar dia dapat semula life, dapat semula menghidupkan gaya hidupnya yang satu itu, tapi dia terikat. Segala macam maklumat dan informasi untuk gerak kerjanya tersimpan di situ, seluruh karya penulisannya juga banyak dalam smartphonenya, aplikasi Pocket yang mengandungi banyak artikel bermanfaat diambil dari internet, dan sebagainya (Mungkin ini hanya alasan yang sengaja dicipta untuk menjustifikasikan tindakannya, mungkin?) Hanya kekuatan yang akan memberinya peluang untuk mengubah kecelaruan gaya hidup ini, biarlah masa yang akan mengubatinya. Time heals.
*****
Matahari sudah mula meninggi, cahaya sang suria mula menerobosi kegelapan yang meliputi. Perlahan-lahan menerangi ruang yang agak samar-samar kegelapan itu. Dia melihat jam dinding di tepi cermin, sudah 10.00 pagi. Tergerak hatinya untuk menyemak notifikasi Whatsapp di smartphonenya, kebiasaannya waktu begini sudah ratusan malah ribuan mesej yang mula memenuhi whatsapp, biasalah waktu cuti. Memang naik gila semua budak. Semua nak merepek, semua nak mencelah, semua nak berborak.
"Result sem 2 dah keluar!"
Oh? Keluar dah?
Penantian budak IQRaC menunggu keputusan imtihan sem 2 yang lalu sudah tamat. Akhirnya, segala doa dan usaha mereka selama ini akan menatijahkan hasil. Dengar khabarnya sebelum balik bercuti, ramai yang menyatakan rasa galau kerana soalan yang tak menepati kehendak mereka, susah katanya. Tak adil, sambut yang lain. Memang terbukti nasihat senior mereka dahulu, soalan imtihan sem 2 memang akan mencabar, dan diuji dengan barisan panelis yang syadid. No compromy. Hitam maka hitamlah, putih maka putihlah. Result memang dijangka akan keluar bila-bila masa sepanjang minggu ini. Maka, sebelum itu, ramailah daripada rakan-rakanya yang mula bising dengan isu result ini, ada yang menyatakan kerisauannya, ada yang bergurau senda, ada yang kelihatan yakin, ada yang biasa-biasa. "Tawakal sahaja", ujar mereka. Banyak ragam dan perangainya. Tetapi, yang pastinya segala persoalan akan terjawab pada hari ini.
Apakah result imtihan ini akan menepati expectation mereka?
*****
Jarinya ligat menaip satu persatu satu huruf itu di ruang browser, kemudian terpampang laman web berwarna ungu dengan gambar masjid Darul Quran sebagai latarnya. Dia menekan perkataan bahagian E-Kampus. Sejurus, keluarlah bahagian login pelajar. Sekonyong-konyong dia mengisi ID dan kata laluannya dan tap!
Loading. Masa berjalan. Matanya masih tertancap pada skrin smartphonenya. Dia sejujurnya tak tahu hendak mentafsirkan perasaannya ketika ini, sedih tak, rasa tak sedap hati pun tidak, rasa yakin pun tidak. Biasa-biasa. Just like a normal day. Mungkin petanda baik? Haha.
"Jangan haraplah, kau ingat tak lepas syafawi kau ada buat status kat facebook, jangan ingat aku taktau kau sebenarnya nak lepaskan rasa ralat sebab soalan susah" monolog dalamannya bersuara.
Halaman hadapan maklumat pelajarnya sudah terpapar, dia kemudiannya menekan keputusan akademik, sebaik sahaja keputusan imtihannya terpapar, perkara yang pertama dibuat ialah menutup perkataan Syafawi dan CPGA dengan dua batang jarinya. Yang lain dia biarkan terbuka, kerana dia yakin yang itu dia insha allah score (yakin semberono)
Tajwid Ilmi: 4.0
Tajwid Amali: 4.0
Fiqh Ibadah: 3.0
Hifz Tahriri: 3.0
Uh? Not bad? Berbaloilah pun dengan usaha kau sebelum imtihan.
Tinggal.
Matanya melirik pada dua jari yang sedang menutup dua bahagian pada skrin smartphone itu. Nafas panjang dihela. Dia mengangkat dengan perlahan-lahan jarinya sambil matanya antara pejam celik, sepet-sepet gitu. Mahu tapi malu-malu alah untuk melihat keputusannya.
*****
"Hai, mama!" dia menjerit riang sambil memeluk mamanya dari belakang. Mamanya sedang memasak sesuatu di dapur. Adik perempuannya yang sedang memotong bawang sekadar memandang pelik abang sulungnya yang seolah-olah buang tabiat.
"Hish tepilah! Tak nampak ke orang sibuk ni?" marah mamanya dalam nada main-main. Manalah seoarang ibu sampai hati untuk memarahi anaknya tanpa sebab.
"Haha, alah, itu pun nak marah ke? Marah cepat tua tau" balas dia sambil tersengih.
"Ni kenapa tersengih-sengih macam kerang busuk ni?" tanya mamanya. Adik perempuannya sekadar menggelengkan kepala, malas melayan abang sulungnya.
"Result exam hari tu dah keluar la ma, ngeh" ujarnya.
"Ha, macam mana? Ok ke KO?"
"Ha, jangan mama tak tahu, inilah anak sulung kebanggaan mama" katanya bangga sambil mendabik dada.
Mamanya seraya pusing ke belakang, memandang muka anak bujangnya sambil mengelap tangan pada baju. "Kenapa macam happy sangat ni? Cuba cerita"
"Subjek tajwid abang dapat 4 flat" dia meninggi-ninggikan kening. Double jerk. Mama budak itu sekadar menjuih mulut ke tepi dan mengangguk-anggukkan kepala.
"Fiqh Ibadah abang dapat 3.0, haha, abang banyak goreng je jawapan"
"Alah takat 3.0 apalah sangat" celah adik perempuannya.
"Senyaplah, kitab dia tebal kot" balas dia sambil menjelirkan lidah. Adiknya sekadar menjulingkan mata ke atas dan buat muka.
"Lagi?" tanya mamanya.
"Yang hafazan, urmm. Bolehlah. Haha, yang tulis-tulis dapat 3.0. Serius ma, soalan sem 2 ni memang susah gila, panelis dia memang strict, tak kasi can langsung, pastu set soalan tak sama, ada yang dapat soalan senang banyak, ada dapat soalan senang sikit (merujuk pada status fb nya sekitar 3 minggu lalu)" terang budak itu dengan bersungguh-sungguh. Memang dia sendiri tak mahu claim bahawa resultnya itu antara yang terbaik, sekadar biasa-biasa sahaja. Tapi, mungkin kerana dia sedar usahanya yang sedikit itu membuahkan result yang sedikit sebanyak di luar jangkaan. Lebih-lebih lagi tahriri.
"Yang hafazan tanya?" soalan killer sudah keluar.
Suasan hening seketika. Dia sedikit tergamam. Lidahnya digigit perlahan.
"Err" dia menggaru-garu kepala. Termanggu-manggu dalam serba salah.
******
Saat itu dia sedang mengemas barang yang mahu dibawa pulang ke Darul Quran. Kelas tasmik tambahan anjuran Biro Akademik IQRaC bakal bermula dalam dua hari lagi. Dia mahu menambahkan lagi bilangan muqarrarnya. Budak itu menjangkakan tahun depan adalah tahun yang sibuk baginya. Generasi IQRaC 15/16 baru masuk, rangkaian program-program bersama batch, projek dia bersama komuniti-komuniti luar lagi. Dia juga berkeinginan untuk menulis sebuah travelog pengalamannya sepanjang setahun setengah belajar di Darul Quran. Biar jadi kenangan untuk ditatap oleh generasi terkemudian. Jadi, lebih baik dia segera menamatkan muqarrar hafazannya agar tidak terkejar-kejar. Lebih mudah untuk dia menyusun jadual aktivitinya.
"Tok tok tok!" pintu biliknya diketuk dari luar. Siapa agaknya yang nak masuk bilik ini?
"Masuklah, bilik abang tak kunci" dia berkata, memberi isyarat kepada si pengetuk pintu untuk masuk ke dalam.
Kepala mamanya terjengul keluar sambil berkata, "Boleh mama masuk?"
Budak itu agak kehairanan tapi tanpa berkata apa sekadar menganggukkan kepala membenarkan. Dalam hatinya, dia berkira-kira. Mama mungkin mahu menghabiskan waktu bersama anak sulungnya, melepas rindu. Dia pun sudah memberitahu awal-awal bahawa dia mungkin tidak akan pulang ke rumah dalam sebulan lebih. Sibuk menyambut dan mengendalikan program untuk adik-adik baru masuk.
"Tengah kemas barang eh?" Mamanya berbasa basi.
"Haah ma, haha, mama sihat?" budak itu segera mengendeng ke sebelah ibunya, mahu bermanja-manja. Anak sulung pun mahukan kasih sayang tau?
"Sihat je, haha. Banyak barang nak bawak, larat ke nak angkat masuk komuter tu?" mamanya prihatin.
"Boleh je ma, bukan banyak mana pun" budak itu menjawab sambil mengurut-urut tangan mamanya. Tangan yang setia mendukungnya ketika dia kecil, memimpin tangan kecilnya melintas jalan, memeluknya tatkala dia perlukan perhatian. Yang tidak merungut keletihan mendodoikan dia tidur pada waktu semua terlena. Kini tangan itu sudah mula menujukkan tanda-tanda penuaan. Walaupun mamanya bukanlah berkeja buruh, alhamdulillah mamanya seorang pensyarah di sebuah IPTA berdekatan, namun manusia mana yang mampu melawan kuasa Allah, kan? Manusia tetap akan berkedut, menemui pencipta apabila tiba masanya. Budak itu merebahkan kepala ke bahu mamanya.
"Ma?"
"Hrmm?" mamanya kemudian mengusap kepala anak sulungnya dengan penuh kasih sayang. Sudah besar anak aku ini, monolog hatinya sendirian.
"Mama tak marahkan?" budak itu bertanya takut-takut.
Jeda. Sepi mengisi ruang kosong antara mereka.
Budak itu sudah mula risau, menelan air liurnya. Bimbang jika mamanya meletus kemarahan.
"Abang ingat tak waktu tingkatan empat, abang selalu mengadu kat mama. Sedih. Kecewa. Frust sebab memanjang je fail add math?" tanya mamanya. Kening budak itu sedikit terangkat. Out of nowhere. Soalan luar silibus ini.
"Eherm, ingat. Kenapa ek?"
"Naik tingkatan lima, dah ok sikit. Mula dengan C masa ujian bulanan, naik sikit ke B masa pertengahan tahun, masa trial dapat B+. In the end, masa SPM abang dapat A+ kan?" tutur mamanya dengan lembut.
Budak itu perlahan-lahan menganggukkan kepala. Cuba mencerna kata-kata mamanya.
"Masa abang tadika dulu, mama ingat lagi. Abang menang pertandingan deklamasi sajak peringkat daerah. Waktu itu mama bangga sangat. Mama menangis terharu masa tu abang tau? Waktu itu mama yakin yang abang punya kelebihan memang dalam bidang pengucapan awam. Mama bersyukur sebab anak mama dikurnikan kelebihan ni, tak semua dapat anugerah yang sama macam abang" mamanya menyambung.
Dia masih dirundung pelik, tapi hatinya sedikit berbunga mendengar pujian mamanya. Dia memilih untuk terus mendiamkan diri. Memberi peluang kepada mamanya untuk mengucapkan kata-kata seterusnya.
"Naik sekolah rendah, waktu itu kat dalam kereta. Waktu petang. Abang lari-lari menuju ke arah kereta mama, muka abang ceria sangat. Bersinar-sinar. Rupanya abang menang anugerah nilam, anugerah pembaca terbanyak. Mama kagum sangat, memang abang sejak tadika suka baca buku. Dah macam bestfriend, susah nak pisah. Tahulah mama bahawa hobi mama ni diwariskan kat anak sulungnya" tambah mamanya lagi sambil mengusap kepala budak itu.
Budak itu memilih untuk terus mendiamkan diri.
"Naik sekolah menengah, abang masuk macam-macam. Syarahan, debat, entah segala macam lagi lah. Mungkin mama tak sempat nak hadiri semua anugerah abang terima, tapi dalam diam mama bangga bang, mama bangga sangat" ujar mamanya sepenuh hati.
"Err, ma, sebenarnya, urm, kita tengah buat sesi, ngee, ala-ala mengenang nostalgia ke?" tutur budak itu dengan teragak-agak.
Mamanya sekadar tersenyum panjang.
"Masuk Darul Quran, abang dah start sibuk, pergi program sana, join program sini. Somehow, mama tak rasa benda ni satu perubahan yang merisaukan, sebab at least mama tahu yang abang tak buat benda pelik-pelik. Abang tak terjebak dengan masalah sosial macam remaja lain kat luar sana, life abang yang baru ini mama suka. Sebab mama kenal dan percaya dengan abang"
"Ma, jangan takutkan abang macam ni"
"Abang pun dah mula cenderung ke arah penulisan, ada essence dalam gaya penulisan abang. Meningkat sedikit demi sedikit. Even, taklah professional. Tahap amatur je lagi. Haha, jadilah apa pun abang. Mama tak halang. Asalkan minat abang tu ada manfaatnya untuk masyarakat"
"Haha, ok. Mama doakan la ye" sekadar itu kata-kata yang terkeluar. Dia sendiri tak tahu hendak respon apa. Kerana dia masih tak dapat menangkap tujuan mamanya bercakap tentang semua itu.
"Abang tahu tak kenapa result abang boleh sampai macam tu?"
Zas! Matanya membesar. Jantungnya berdegup laju. Oh!? Mama nak sentuh pasal pagi tadi ke?
"Jujur mama cakap, abang leka. Leka dengan dengan dunia baru abang. Kadang-kadang perkara yang kita nampak ada sisi kebaikan, rupanya dah tutup mata kita untuk lihat perkara besar yang lebih penting. Abang habiskan dengan baca buku, tak salah, mama pun suka membaca. Kemudian, abang pergi program sana sini, jarang nak melekat dekat rumah, pantang kalau ada peluang, mesti pergi program, pun tak ada masalah. Biasalah memang trend anak muda sekarang suka benda macam itu. Abang suka update status dekat facebook, tulis buah fikiran abang. Walaupun mama jarang respon dekat facebook abang, tapi mama follow perkembangan abang. Mama lihat segalanya bang. Apa yang abang tulis, apa yang abang share. Mama nampak, kematangan abang, perubahan dalam diri abang, then abang kadang-kadang bertapa depan laptop, mama tahu abang tengah buat karya penulisan yang baru. Kadang-kadang abang ada tunjuk karya abang dekat mama, minta pendapat. Mama bukan ahli dalam bidang sastera, tapi sebagai ibu, mama tahu yang anak mama yang seorang ini pun ada bakat menulis sebenarnya. Tinggal nak asah lagi. Upgrade mana yang patut"
Budak itu tiada pilihan lain, hanya mampu bermain dengan jari sambil menunudukkan muka. Dia sudah mula memahami ke mana arah perbualan mereka.
"Walaupun mama tak berada dalam sistem darul quran, tak faham keadaan belajar kat sana. Tapi, sekurang-kurangnya masa hari pendaftaran, mama tahu daripada pengarah yang dah terangkan serba sedikit. Betulkan mama kata yang subjek hafal-hafal ini paling penting, kalau tak yang lepas yang tu, elok macam mana pun subjek yang lain, kalau hafalan tak lepas, still akan influence overall result?" tanya mamanya tegas.
"Ye ma" apa lagi yang mampu dia buat. Sekadar mengiakan tanpa bantahan.
"Waktu cuti atau kalau abang balik rumah, mama tak nafikan yang abang memang konsisten baca quran lepas maghrib. Tapi waktu sekolah menengah pun abang melazimi aktiviti yang sama. The same thing. Abang kena sedar, sekarang abang dekat Darul Quran tau? Pensijilan lagi. Ramai lagi nak masuk, tapi abang antara yang terpilih. Kalau abang tak serius dengan pengajian sekarang, baik abang tak payah masuk. Bagi je kat orang lain yang beratur luar sana tu, siap merayu-rayu lagi. Sepatutnya, waktu abang dengan quran mesti lebih. Mama tak pernah hafal quran, which is mama minta maaf kalau mama tak boleh pantau atau bagi tips, tapi mama tahu yang quran kalau tak selalu ulang akan hilang. Apa yang mama nampak, usaha abang sama. Alhamdulillah tak menurun, tapi tak naik. Takat itu jugak. Sem ni dah masuk 22 juz kan?"
"Eherm" anggukan kepala sudah semakin lemah. Perasaan bersalah mula bersarang dalam dada.
"Huish, kan banyak tu?. Abang tak pernah risau ke? Abang sendiri yang beria-ria cerita kat mama, yang kalau hafal quran tapi lupa dengan sengaja, nanti quran akan jadi hujah yang menuntut ke atas kita masa akhirat nanti, abang dah lupa? Atau sengaja buat-buat lupa?" soal mamanya lagi.
"Tak ma" sentap beb. Sentap.
"Mana perginya semangat abang masa sebelum masuk darul quran tahun lepas? Beria-ria kata nak duduk dengan al quran je, taknak berpisah. Kalau boleh setiap masa nak habis dengan quran. Masa awal-awal dulu mama nampak jugaklah semangat tu, tapi lama-lama dah kendur. Masa konflik Jordan tu pun, abang sendiri yang buat keputusan tanak terima offer. Abang kata abang nak stay jugak dekat darul quran sebab nak teruskan menghafal, abang kata rugi dah hafal separuh jalan kalau berhenti. Ok, takpe. Mama tak kisah, walaupun mama rasa ralat sedikit. Mama nak jugak tengok anak-anak mama pergi fly overseas. Tapi, mama sabar dan yakinkan diri, yang pengorbanan dan penolakan abang ni, abang tak akan sia-siakan. Ini keputusan abang, jadi sebagai ibu mama doakan yang terbaik. Tapi abang, still perkara yang sama berlaku. Mana semangat abang dengan quran? Abang sibuk dengan buku dan program, keluar buat aktiviti kemasyarakatan. Tapi itu semua bukan hujah untuk abang bermalas-malasan dengan quran. Once abang dah pilih jalan ini, maka abang kena ikut caranya. Kena kuat, kena rajin. Abang rasa dengan usaha abang yang sekarang, layak ke nak bergelar so called hafiz? Tak perlu jawab dengan mama, simpan sendiri jawapan abang. Muhasabah balik" dalam nada yang lembut itu terselit unsur ketegasan.
Bunyi kipas berputar yang mengisi ruang kosong antara mereka, mamanya bersuara lagi.
"Abang mengadu kat mama yang soalan untuk exam semester 2 ni susah, tak selaras. Ada set soalan yang banyak awal juz awal surah, ada yang sikit. Mama jujur tak faham apa signifikannya kepentingan banyak awal juz awal surah ni untuk jawab soalan, sebab mama bukan student darul quran. Mama tak faham. Tapi, satu je mama nak tanya. Memang abang masuk darul quran nak hafal awal juz dengan awal surah je ke? Kalau macam tu, kat Jordan pun boleh. Tak yah jauh-jauh pergi Jordan, takat sambung degree kat UIA, sambil-sambil belajar boleh je hafal awal juz awal surah tu. So, apa beza abang dengan orang lain kat luar? Betul tak mama kata, kalau lembaga peperiksaan tak akan sediakan soalan tu kalau dia tak yakin yang budak boleh jawab? IQRaC tu dah 15 generasi bang, lama dah. Jadi orang atasan lebih tahu bentuk soalan yang sesuai nak diuji untuk pelajar pensijilan. Peluang yang sama je untuk semua. Tinggal diri kita, sama ada nak rajin atau terus bermalas-malasan"
"Ma, abang minta maaf" sebak mula terasa dalam dadanya. Apa lagi yang mampu dia jawab? Memang apa yang dinasihatkan oleh mamanya itu seratus peratus tepat. Tiada yang salah. Memang betul belaka. Kesalahan itu terletak pada dirinya.
"Abang, mama pernah terbaca dalam buku abang, yang adab hamalatul quran tu, masa pergi bilik abang, tengok-tengok buku dalam beg abang. Mama sengaja selak-selak, mama terhenti dekat satu muka surat. Abang lipat muka surat tu, abang siap higlight lagi hadis yang ada kat mukasurat tu, seolah nak tunjuk yang hadia tu penting sangat dalam hidup abang"
Budak itu mengangkat muka, memandang wajah ibunya. Tepat ke arah mata. Sambil itu dia cuba mengingat-ingat mukasurat seperti yang dinyatakan oleh ibunya.
"Mama nak jugak jadi pemakai makhkota yang bersinar-sinar masa hari akhirat nanti berkat usaha abang jadi hafiz". Cukup sepotong ayat mamanya berkata. Kata-kata yang pendek tapi bermakna. Sangat bermakna.
Allahu. Hatinya mula basah. Jiwanya bergetar, menggigil.
"Abang, mama tak mintak kalau abang naik pentas terima anugerah pengarah tu sebab excel dalam exam semester, even masa sem 3 nanti pun mama taklah sampai mengharap abang akan dapat anugerah pelajar terbaik keseluruhan. Result abang yang 1 subjek ni dah matikan harapan tu, jadi nak tak nak, mama kena terima hakikat. Tapi mama tak sedih bang, serius mama tak sedih. Mama sendiri dah puas tengok abang naik pentas sejak tadika, dapat anugerah itu ini. Kalaupun tahun depan abang grade dengan sehelai sijil, itu pun sudah cukup bagi mama. Tak perlu nak sampai dapat anugerah. Cukup sekadar mama nampak, yang abang memang berusaha untuk jaga quran abang. Cukup sekadar mama tahu, yang abang memang sedang bersungguh-sugguh dengan peluang menghafal quran yang dah terhidang depan mata ni. Cukup dengan semua itu bang, bagi mama lihat segala usaha abang dah cukup bahagiakan hati mama. Sekurang-kurangnya mama tahu, yang anak mama tak pernah mensia-siakan peluang yang ada, tak pernah main-main dengan semangat sewaktu sebelum daftar masuk Darul Quran. Waktu abang cakap kat mama nak stay, taknak fly pergi Jordan" lirih suara mamanya menuturkan.
Kemudian mamanya memandang dengan sebuah senyuman, menepuk pipi budak itu perlahan. Kemudian, meminta izin untuk keluar bilik.
*****
"Abang serius ke taknak bawak phone ni pergi sana?" Soalan yang sama sudah diterima oleh budak itu sejak tadi.
"Iye la budak kecik, kan dah cakap tadi" budak itu bercakap malas. Haih, berapa kali nak kena ulang benda yang sama ini?
"Tapi, kan banyak kerja abang dalam tu?"
"Alaa, bukannya pisah terus, sekejap je, nanti tahun depan dalam akhir atau tengah Januari abang ambil balik, hish!" Geram.
"Buku-buku yang abang beli masa Big Bad Wolf ni, pun taknak bawak jugak ke?" adiknya bertanya lagi.
"Haha, abang dah declare clash dengan semua buku dalam masa sebulan ni. Biar kami bawak haluan masing-masing. Mencari erti hidup, menalar makna diri. Eceh" dia bergurau dan tergelak. Tapi, dia memang sudah memasang nekad. Dia mahu fokus. Dia hendak buat betul-betul untuk ujian ulangan ini.
"Hrmm, yelaa. Takpela, orang pun boleh tumpang baca. Ni last, abang memang truly madly deeply serius taknak bawak phone ni pergi sana?"
"Agak-agak kalau abang stapler mulut adik nak tak?"
******
Phonenya bergetar, ada mesej baru masuk. Adiknya menyerahkan smartphone itu kepadanya untuk dilihat.
+Man, pm result kau. Kami AKAD nak buat analisis batch.
+ Huhu, seganla. Result aku tak gempak macam korang, lagi teruk dari sem 1. Agak-agak soalan dia susah tak?
+ Tak susahlah, ok je. Asal kau iadah elok-elok 
+ Sorry, aku dah malukan AKAD. Ngeh 
+ Haha, takpe. Kau hebat man, aku yakin kau boleh catch up.
+Tenks, pray 4 me.
+Insha allah. Kau boleh lah sebenarnya 
+ Haha, mak aku dah bebel tadi, kau jangan nak tambah 
+ Takde masa aku pun, kau pun dah besar panjang. Dah boleh faham sendiri. 
+ Aku akan buat sungguh-sungguh. You have my word 
+We shall see.
********
Dia sudah sampai di situ, biliknya agak berhabuk. Dah dekat sebulan ditinggalkan. Rindu sungguh. Banyak kenangan dia dengan bilik itu. Segala makanan, minuman bancuh 3 in 1 terletak rapi di atas meja. Pakaian-pakaian yang tergantung dalam loker baju. Buku-bukunya masih elok tersusun di rak buku. Tapi dia sudah tekad, dia tak akan menyentuh walau satu buku bermula dari sekarang sehinggalah segalanya sudah selesai nanti. Sabarlah kejap, tak lama mana pun kan?
"Malam sikit lah aku kemas apa yang patut"
Dia memakukan pandangan pada kalendar. 30 Disember 2014. Tarikh itu dibulatkan. Tarikh keramat itu. Ironinya, tahun lepas pada tarikh yang sama, dia mendapat berita gembira ditawarkan untuk menyambung pelajaran dalam pensijilan di Darul Quran. Kini, tarikh 30 Disember pada tahun yang berlainan, dia bakal menempuhi satu lagi perjuangan. Menuntut semangat yang kian hilang, merebut kembali daya fokus yang semakin sirna kerana leka dengan dunia baru, sekurang-kurang begitu menurut mamanya. 9 hari masih berbaki sebelum 30 Disember.
Dia membuka tingkap bilik, menarik kerusi ke arahnya. Cahaya matahati hangat menyapa wajah. Angin sepoi-sepoi bahasa membelai pipi. Suasana yang baik dan tenang untuk menghafal.
Dia merenggangkan leher, membetulkan segala urat, menggeliat dan menolak kedua belah tanggannya ke depan. Kemudian, menghela nafas panjang. Mengambil masa dalam beberapa saat untuk menyediakan diri. Biar tenang sepenuhnya. Al quran di sebelah cawan dicapai.
"Bismillah"
*memandangkan ramai dalam kalangan rakan-rakan FB mengundurkan diri, beruzlah ke dunia realiti lantas meninggalkan dunia maya yang ilusi, penulis berhasrat untuk turut serta sekaligus menerjunkan diri dalam dunia kesufian, dengan harapannya mungkin satu hari nanti akan berjaya berjalan di atas air tasik Darul Quran yang luas itu. Mod antisosial bermula dari Ahad sehinggalah ke satu masa yang Allah sahaja mengetahuinya. Haha
































Masih punya anak muda sebegini ? allahu , hebat sungguh keluarga ni . 
sambil baca terbayang suasana dan keadaan iman dgn aunty azizah .................
hebat hebat ...